1. Hari ini, Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda ( KBMM ) bersama menyertai gelombang bantahan segenap rakyat Malaysia; mengecam apa jua bentuk brutaliti dan kekejaman bala tentera rejim Zionis Israel yang menyerang, mengeroyok dan membunuh umat Palestin. Sama sekali sanubari kita tidak terbayangkan bagaimana kanak-kanak, wanita dan golongan yang tidak berdaya berpanjangan menempuh ketakutan dan azab derita, di sana.
2. Atas keinsafan ini, maka KBMM — sebagai sebuah kelab swardaya masyarakat non-government organization ( NGO ) yang minat berkegiatan dan mempromosi riadah “ badminton untuk komuniti ” — akan menganjurkan sebuah kejohanan badminton persahabatan antara KBMM berhadapan ROCKERS UNITED. Solidariti dan inisiatif ini kami namakan sebagai “ TANGKIS UNTUK PALESTIN ”.
3. Konflik berleretan 6 dekad di bumi Palestin itu adalah antara krisis dan jenayah kemanusiaan teramat dahsyat dan antara yang paling menghanyirkan dalam sejarah moden ~ walhal Palestin merupakan wilayah yang penuh dengan sejarah janji dan kasih Tuhan untuk sekian manusia; selain di sana pernah mekar-harumnya kehidupan pruralisme beragama yang meliputi umat Islam, Kristian dan Yahudi.
4. Meskipun objektif tugas amal ini adalah untuk mengumpul dana, namun lebih utama adalah untuk menciptakan kepedulian atau awareness masyarakat membantu sedaya mungkin kepada watan Palestin. Antara tanda keikhlasan itu nantinya ialah jumlah ringgit yang inshaalah dapat kita serahkan terus kepada Mercy Malaysia bagi tujuan membantu mangsa perang di Palestin dalam apa jua kaedah. Kita wajar percaya bahawa tidak cukup sekadar mengecam seraya berpeluk tubuh menunggu kekuasaan besar seperti Amerika Syarikat atau badan dunia PBB mahupun OIC untuk menangani isu ini.
5. KBMM akan dibarisi pemain daripada beberapa nama selibriti sementara ROCKERS UNITED yang ditungjangi oleh band rock Wings dan kelab peminatnya, SAYAP-SAYAP WINGS. Program ini juga sokongan lagenda badminton negara, Dato’ Haji Misbun Sidek, saudara Haji Jailani Sidek dan pemain kebangsaan, Roslin Hashim yang akan memberikan talk serta klinik badminton kepada peminat yang hadir. Pada hemat saya, belum pernah ada kelompok daripada artis, selibriti sehinggalah golongan profesional muda, bergabung dan bersatu demi menyatakan simpati kepada nasib malang rakyat Palestin.
6. Kami yakin bahawa sukan badminton wajar disemarakkan di peringkat akar umbi kerana Malaysia mempunyai sejarah yang bergemalapan di dalam sukan ini. Meskipun ada sukan-sukan lain yang popular, namun rekod pencapaian badminton kebangsaan di peringkat tertinggi dunia adalah lambang kemegahan Malaysia.
7. Program “ Tangkis Untuk Palestin ” sebagai usaha kecil tentunya beriringan dengan keputusan Parlimen dan rakyat Malaysia untuk mencemoh Rejim Zionis dan ayuh kita mengaminkan semoga Illahi memberi kekuatan dan menyelamatkan bangsa Palestin.
Sekian. Terima kasih.
HASMI HASHIM (Penaong)
ISMAIL MOHD SHARIFF (Presiden)
Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda.
Jawatankuasa Penaja KBMM.
1 ulasan:
mari sma2 kita menangkis!!
hu3
Catat Ulasan